16 Mac 2015

GURU ANTARA CABARAN DAN REALITI ABAD INI

ISU kerjaya guru sebagai satu bidang yang dianggap mencabar bukanlah suatu fenomena yang baharu.Perihal cabaran dan realiti hidup sebagai seorang guru sering dijadikan isu yang sekejap ada dan sekejap tiada oleh media massa.Keadaan ini memberi satu persepsi yang pelbagai dalam kalangan generasi muda untuk menceburi kerjaya yang satu ketika dahulu amat diminati ramai oleh generasi era 1970-an dan 1980-an.Kendatipun demikian isu ini cuba menyingkap kerjaya ini sebagai satu profesion dalam masa yang sama antara cabaran dan realiti yang perlu dihadapi oleh insan yang ingin menjadi guru sejati. Dalam kalangan masyarakat Islam,kerjaya sebagai guru dianggap mulia dan pewaris tugas Nabi.Ini adalah kerana di tangan seorang guru terletak satu beban dan tugas yang amat berat.Amanah yang dipikul bukan sedikit memandangkan tuntutan masyarakat dan harapan orang ramai terhadap guru itu masih belum susut sekali pun pandangan mereka (sebahagian besarnya} kurang menghormati guru.Keadaan ini berlaku akibat perubahan massa,tuntutan zaman dan gaya hidup yang berpaksikan budaya hedonisme serta materialisitik kian subur dalam hidup bermasyarakat.Berlainan dalam era 1960-an hingga 1980-an bidang keguruan dianggap kerjaya yang versatile,sumber maklumat dan penyampai ilmu dan boleh membentuk peribadi seseorang individu yang mungkin gagal mencari hala tuju yang sewajarnya.Gurulah orang yang diharap memberi panduan dan tunjuk ajar kumpulan ini agar dapat dipandu ke arah yang betul sebaik tamat alam persekolahan mereka. Berlainan era digital, yang mana ruang lingkup pekerjaan melebar luas.Kerjaya sebagai guru adalah sebahagian daripada bidang kerja yang dianggap bawah sedikit daripada pekerja sektor kemahiran dan apa tah lagi jika dibandingkan dengan seorang usahawan atau ahli koprat.Kebetulan pula suatu ketika dahulu kerjaya ini pilihan terakhir untuk mereka yang sekian lama menganggur walaupun sekian lama tamat pengajian di menara gading.Rata-rata yang memilih bidang keguruan atas rasa terpaksa daripada terus hidup sebagai penganggur terhormat.Malah dalam satu kajian yang dibuat oleh Unit Kajian Luar UITM Shah Alam dianggarkan daripada 10 orang guru yang disoal selidik akan ada 4 orang mengakui bahawa mereka memilih kerjaya ini kerana terpaksa.Tidak kurang pula yang menjadikannya batu loncatan untuk menceburi bidang yang lebih mencabar setelah peluang untuk melanjutkan pengajian ada atau modal sudah melayakkan mereka beralih selera atau tempat kerja. Situasi inilah yang menggemparkan warga pendidik apabila isu Guru Kencing Berdiri Anak Murid Kencing Berlari diwar-warkan oleh media massa tempatan.Keadaan ini berpunca daripada laporan salah laku sebilangan guru yang gemar mendera pelajar apabila mengenakan hukuman,lari daripada tugas,sibuk melakukan tugas lain sehingga tugas hakiki diambil mudah atau diabaikan.Hasilnya guru sering diberi pelbagai tohmahan.Kredibiliti mereka dijadikan bahan momokan oleh segelintir penulis yang memang kurang senang akan tabiat sebahagian guru yang gagal melaksanakan tugas mereka dengan jujur atau amanah.Rentetan daripada keadaan inilah desakan untuk membentuk jati guru sering dituntut oleh masyarakat dan pihak yang sememangnya diamanahkan menjaga kerjaya ini agar tidak tersasaran daripada landasan sebenarnya. Perlu diingat kerjaya sebagai guru bukanlah semudah disangkakan.Tuntutan guru sebagai penyambung tugas Nabi memberi satu tafsiran yang amat luas.Lantaran itu dari sudut agama khususnya Islam meletakkan tanggungjawab seseorang guru itu memang bukan kecil sebenarnya.Dengan kata lain seseorang guru haruslah melaksanakan tugas menyampaikan ilmu,mendidik dan membimbing seseorang pelajar itu agar dapat mendepani masa depan dengan cara yang betul.Tugas seorang guru bukan hanya memastikan pencapaian cemerlang murid dalam bidang akademik sahaja yang seharusnya dijadikan ukuran.Lebih jauh lagi seseorang murid perlu faham akan peranan sebagai seorang pelajar dan bagaimana pula jika sudah menjadi anggota masyarakat.Keadaan yang kita hadapi secara realitinya agak berlainan dengan apa yang diajarkan oleh Islam.Islam mahu seorang guru perlu menjadi pendidik,pembimbing dan pemandu seseorang murid itu agar kenal erti hidup dengan hubungannya dengan Tuhan.Secara fitrahnya jika seseorang murid itu harus memahami tugasnya sebagai seorang murid dan bagaimana pula jika mereka sudah meninggalkan alam persekolahan. Di pihak ibu bapa pula agak berlainan.Sebilangan mereka menyerahkan anak-anak mereka ke sekolah agar dapat keluar sebagai anak yang berjaya.Sebilangan pula meletakkan sekolah sebagai tempat jagaan anak-anak dan jika sudah sampai waktunya anak-anak ini akan kembali ke pangkuan mereka seadanya.Hasilnya keseimbangan dalam memantapkan misi dan visi seseorang guru terbantut.Keadaan ini berpunca daripada ibu bapa yang kurang arif akan peranan institusi sekolah sebagai pembentuk sahsiah dan membina masa depan seseorang pelajar secara tuntasnya.Trend yang popular era 1980-an ini perlu diperbetulkan.Guru dan Ibu Bapa seharusnya saling melengkapi.Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menggariskan salah satu anjakan yang diimpikan ialah peranan PIBG dan Komuniti setempat dalam usaha memantapkan martabat sesebuah sekolah.Matlamat ini diharap dapat direalisasikan melalui Sarana Sekolah dan Sarana Ibu Bapa yang dirasakan boleh memberi impak besar terhadap masa depan dunia pendidikan negara. Lantaran itu Timbalan Perdana merangkap Menteri Pendidikan iaitu Tan Sri Muhiyidin Yassin mahu warga guru mengimbaskan kembali tugas mereka dengan tuntutan semasa.Guru hari ini perlu lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas mereka agar kerjaya sebagai guru lebih dinamik.Namun saranan beliau disanggah oleh sebilangan guru yang berasakan kenyataan itu tidak lebih sebagai satu retorik apabila beban tugas guru sering digandakan oleh pelbagai saranan atau pembaharuan yang tidak terkejar oleh guru itu sendiri.Timbul bantahan dalam atau protes secara senyap dalam kalangan sebilangan kecil guru-guru yang tidak puas hati dengan layanan Kementerian Pendidian Malaysia terhadap guru itu sendiri.Prospek dan kerjaya sebagai guru dikatakan lesu,sarat dan momokan idea orang politik.Tambahan pula kebajikan guru sering diabaikan berbanding dengan kerjaya lain.Hasilnya kekecewaan itu dizahirkan dengan pelbagai cara mengikut persepsi guru masing-masing.Maka timbullah sifat mengajar ikut pejabat atau kerja asal ada. Sudah sampai masanya pihak berwewenang memikirkan pendekatan yang lebih pragmatik untuk melahirkan guru sejati.Kriteria untuk menjadi seorang guru tidak cukup sekadar pencapaian akademik yang cemerlang.Pakej seorang guru sejati perlu diperlihatkan dari sudut pandang yang lebih luas.Tidak terbatas kepada berilmu,bijak,mahir berkomunikasi tetapi sahsiah seseorang juga perlu dijaga.Sebagai penyampai ilmu,seseorang guru perlu mudah diajak berbincang,bijak berkomunikasi dan mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran setempat.Dengan kata lain guru jenis ini mampu menambatkan keyakinan ibu bapa agar anak-anak mereka mendapat bimbingan yang betul.Oleh hal yang demikian untuk menjadi seorang guru antara kriteria yang perlu ada ialah rajin menambah ilmu,taat beragama,bijaksana,kreatif,inovatif dan yang paling penting dapat meluangkan masa dan tenaga untuk anak didik tercinta.Dengan cara inilah seseorang guru yang berjiwa pendidik sejati akan menikmati kepuasan diri semaksimum mungkin apabila melihat anak didik mereka berjaya di sekolah dan berguna di alam masyarakat Sebagai kesimpulannya kita perlu sedar akan hakikat kehidupan sebagai guru ternyata amat mencabar.Cabaran itu bukan berpaksikan pembentukan jati diri guru itu sendiri tetapi kehendak ibu bapa dan masyarakat juga perlu juga diambil kira.Guru tidak wajar mendabik dada dengan ilmu yang ada.Peranan mereka perlu lebih hidup dan menyesuaikan diri dengan kehendak masyarakat tanpa meminggirkan normag masyarakat dan tuntutan beragama.Guru perlu menjadi insan yang serba boleh dan dalam masa yang sama mengekalkan jati diri agar terus diingat oleh masyarakat dan pelaharnya sendiri hingga ke akhir hayatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan