07 Februari 2010

DUNIA SEORANG PENDIDIK


Asalamualaikum dan selamat sejahtera!Terlebih ingin saya memanjatkan rasa syukur disebabkan terpilih menjawat jawatan sebagai seorang pendidik.Dengan kata lain sebagai seorang guru sekali gus bakal dipanggil sebagai seorang guru.Hari pertama menjadi seorang guru pelbagai persoalan bermain dalam benak fikiran.Betulkah bidang yang saya pilih ini?Sejauh manakah menariknya kerjaya ini?Apakah yang boleh saya manfaatkan daripada jawatan ini selain dikatakan kerja banyak cuti (tanggapan orang) dan mampukan saya menyumbangkan tenaga serta buah fikiran untuk jawatan yang satu ketika dahulu dipandang mulia oleh masyarakat.Namun hari pertama berada di tengah dunia seorang pendidik ternyata terlalu banyak yang perlu saya pelajari sama ada secara langsung mahupun sebaliknya.Malah sewaktu menyertai mesyuarat pertama sebagai seorang guru ternyata ruang lingkup tugas dan amanah yang dipikul di luar duga.Daripada merekodkan bahan Pengajaran & Pembelajaran (P&P) seorang pendidik perlu bersedia mendepani tugas pekeranian iaitu merekodkan kehadiran pelajar/bayaran yuran atau lain-lain yang berkaitan termasuk seribu satu macam borang yang perlu disegerakan tarikh penyerahan oleh pihak pentadbir.Bagi saya perkara ini bukannya baru bagi seorang pendidik.Namun memikirkan jumlah pelajar yang semakin bertambah setiap kelas ternyata perkara ini banyak merencat peluang guru-guru membuat persediaan rapi untuk P&P jika benar-benar guru berkenaan sebagai seorang berjiwa pendidik.
Persoalan ini bermain dalam benak fikir saya tatkala saya cuba menggunakan ruang masa yang ada untuk membuat tinjauan mengenai bahan-bahan yang akan saya sampaikan keesokan harinya ternyata saya memerlukan waktu yang agak lama.Keadaan ini diganggu oleh beban kerja pekeranian yang perlu diselesaikan,sementelahan buku-buku latihan yang mulai membukit sebaik latihan pertama diberikan buat para pelajar.Saya bukan terlalu cerewet akan perkara yang sudah sekian lama dilakukan oleh guru-guru dahulu.Namun oleh sebab perkembangan masa yang menuntut kita mencari titik penyelesaian terbaik ke arah meringankan sedikit bebanan para pendidik kita perlu sama menggembelengkan tenaga atau buah fikiran bagi mencari situasi yang menguntungkan semua pihak.
Daripada keadaan ini maka saya teringat akan pesan teman-teman sekuliah saya dahulu yang menasihati saya agar bersedia untuk menyepikan diri jika mahu menjadi guru yang sejati.Bayangkan seseorang guru sudah berada di sekolah seawal 6.55 pagi dan pulangnya sekitar jam 1.30 petang jika tiada kerja tambahan atau mesyuarat.Jika ada aktiviti di sekolah perlu turun semula untuk menyudahkan tanggungjawab yang diberi.Kemudian perlu menyemak atau menyelesaikan mana-mana latihan,mengisi borang atau maklumat yang perlu diselesaikan dalam tempoh yang diberikan.Apa pun perkara ini bukanlah masalah bagi guru-guru veteran yang saya anggap tekun,amanah dan sabar dengan tugas yang diberikan walaupun ada yang kurann senang atau merungut tetapi masih masih bersedia menyudahkan kerja yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin.Keadaan ini merangsang semangat guru-guru muda untuk bersama-sama membantu mereka.
Alangkah manisnya atau menarik andai kata warga pendidik perlu diberi peluang untuk menyulami kerjaya mereka dengan lebih masa daripada terlalu dibebani oleh tugas-tugas di luar kerjaya mereka.Hal ini amat menginsafkan saya apabila melihat beberapa orang guru yang berdepan dengan karenah pelajar-pelajar bermasalah.Lebih rumit oleh dengan gelagat ibu bapa yang amat mudah menerima aduan anak-anak tanpa usul periksa dan gemar mencetuskan provokasi dengan pendidik.Situasi ini menggambarkan masih kedapatan minda kelas ketiga dalam kalangan masyarakat kita.Mereka mudah melenting,marah-marah dan cepat menyalahkan orang lain apabila ada pihak cuba menegur,memberi pendapat dan pandangan perihal perangai atau gelagat anak-anak mereka di sekolah.Masa yang sibuk untuk menyelesaikan perihal disipilin para pelajar berkenaan tentu lebih bermanfaat untuk diguna pakai ke arah mencari titik penyelesaian berkaitan isu semasa,pendekatan pendidikan dan kaedah menambah baik P&P di sekolah.Oleh itu di tangan seseorang guru bukan sahaja perlu bersedia memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan,perlu arif akan keadah menyelesaikan masalah dengan ibu bapa,menjadi pengawal dan penyelia yang sekali gus mengikatkan saya akan pesan seorang teman guru harus serba boleh.Oleh itu bersediakah saya atau yang segenerasi saya memenuhi kehendak ini.Apakah akan selamanya saya akan terus mewarisi kaedah ini kerana kata orang Guru Itu Ibarat Sebatang Lilin?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan