01 Mei 2010

REZEKI & TAKDIR

Lebih seminggu Awang tidak berkesempatan mengemaskinikan blog Awang.Hal ini demikian kerana beban kerja yang menggunung dan ditambah oleh sebab lap top Awang yang meragam akibat serangan virus.Awang terasa kekurangan sesuatu perkara yang amat memilukan apabila terkenang akan sikap segelintir teman Awang yang terlupa nikmat Allah SWT.Hal ini demikian apabila keluhan demi keluhan terpancut daripada mulut mereka dengan masalah di tempat kerja diikuti beban kerja yang dikatakan tidak pernah susut.Bagi Awang banyak perkara yang Awang kena fikirkan.Pertama apa yang kita buat sekarang merupakan ujian yang diberikan oleh Allah SWT untuk menilai sejauh manakah kejujuran kita dalam menghadapi ketentuan-Nya.
Guru-guru Awang selalu ingatkan Awang agar bersyukurlah dengan apa yang ada.Ini adalah kerana rezeki dan umur yang Allah berikan merupakan ujian yang perlu kita tekuni dengan sabar.Kita acap kali memberitahu seseorang agar sabar jika ditimpa musibah atau kecelakaan.Namun apabila soal rezeki pendapatan yang kita terima kebanyakan sering mencari jalan untuk menghalakan perasaan tidak puas hati dan geram itu terhadap orang lain.Misalnya seorang rakan Awang yang sudah lebih 5 tahun diberi jawatan sebagai PK sekolah tempat dia bertugas marah-marah sambil mengatakan kerajaan tidak adil kerana enggan melantiknya ke DG 44 sedangkan dia sudah selayaknya menerima jawatan tersebut bersandarkan senioriti dan kedudukannya.Kemudian seorang lagi kawan Awang yang enggan meneruskan kerjayanya sebagai guru kelas atas alasan dia sibuk meneruskan pengajiannya di sebuah pusat pengajian tinggi tempatan.
Pada kawan Awang yang pertama,seringkali Awang jelaskan kepadanya apa yang dia hadapi sekarang ialah ujian daripada Allah SWT.Belum rezeki untuk melayakkannya diberi kedudukan DG44 mungkin sebagai satu cara Allah meningkatkan darjat keimanannya.Awang katakan kita hidup ini jika sakit atau susah itu ujian.Jika senang dan kaya diberi juga satu ujian.Barang diingat kita lahir ke dunia pun tidak ada apa-apa yang kita bawa.Kembali ke pangkuan Illahi pun kita hanya dibekalkan kain putih jenama pun tidak pasti.Namun tugas dan tanggungjawab yang dipikulnya sekarang merupakan amanah yang amat besar yang akan disoal oleh Allah SWT hari nanti.Dua perkara yang akan kita depani pada hari akhirat nanti iaitu hisab atau diazab?
Rakan Awang kedua Awang jelaskan bahawa Core Busines kita ialah mengajar.Soal melanjutkan poelajaran itu pilihan kita.Kerajaan tidak paksa.Kalau merujuk kepada amanah sebagai pendidik mengajar dan menunaikan kerjaya yang kita pilih itulah yang betul.Kemudian soal meneruskan pelajaran adalah perkara lain kerana peribadi sifatnya.Jika begitu tindakan kamu,bererti kalau saya ada masalah peribadi di rumah maka bolehkah saya beri alasan bahawa saya tidak mengajar hari ini kerana tadi saya bergaduh dengan jiran saya.
Awang hendak ingatkan diri Awang agar jangan lupa dua perkara jika hendak berasa selamat di dunia ini.Pertama takdir Illahi.Keduanya rezeki yang diberikan oleh Allah untuk kita laksanakan dengan bijaksana dan penuh keseyukuran.Dengan cara ini kita akan tenang dan aman tanpa mengangkut hal lain yang di luar kawalan kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan